Halatuju Anda Jika Anda Seorang Pelajar - Roy Kudo Holmes

Khamis, 29 Disember 2022

Halatuju Anda Jika Anda Seorang Pelajar

Banyak cabaran yang perlu ditempuh bagi seseorang pelajar menjalani masa persekolahan. Masa yang diambil untuk menghabiskan persekolahan sehingga ke tingkatan lima mengambil masa kira-kira 12 tahun. Anda perlu membuat persiapan awal untuk menentukan halatuju anda. Langkah-langkah awal yang perlu anda buat adalah seperti berikut:

Memikirkan masa depan

  1. Belajarlah bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan cemerlang. Jika anda hanya mampu lulus sahaja, tidak mengapa kerana anda telah membuktikan yang anda mampu lulus. Berusaha lebih keras untuk mempertingkatkan gred anda dalam setiap matapelajaran.
  2. Tahu memilih aliran di tingkatan empat membuatkan masa depan anda lebih cerah. Jika anda tidak dapat memasuki kelas aliran yang berkaitan dengan cita-cita juga tidak mengapa. Di universiti juga anda masih ada peluang untuk memilih aliran yang berkaitan dengan cita-cita anda. Jika anda tersilap lagi, lebih baik anda teruskan sahaja bidang yang anda ceburi kerana rezeki anda sudah tertulis.
  3. Perlukan rehat yang cukup supaya anda tidak mengalami tekanan jiwa. Tidak perlu belajar sampai naik gila. Cukup belajar untuk membuatkan anda faham dan ingat. Rehatlah jika perlu. Gunakan masa rehat untuk mandi, beribadah dan bersukan.

Membuat keputusan yang tepat

  1. Berfikiran jauh untuk membuat keputusan yang berkaitan dengan masa depan. Fikir kebaikan dan keburukan dahulu. Jika pasti pilihan anda jangan lagi ragu-ragu agar keyakinan anda itu ada.
  2. Berjumpa dengan guru kaunseling untuk membantu anda mendapatkan pencerahan. Tidak perlu ikut bulat-bulat. Cukup mendengar dan anda membuat keputusan. Pilihan di tangan anda.
  3. Berbincang dengan rakan-rakan anda untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik. Kadang-kadang tidak semua orang yang kenal kita tahu apa yang terbaik untuk kita. Berbincang dengan orang yang anda yakin mengenali diri anda. Tidak lupa juga berbincang dengan ahli keluarga sebelum membuat keputusan muktarakan.

Memilih rakan

  1. Memilih rakan yang anda rasa selesa dengan anda. Seeloknya memilih yang baik dan suka memberi nasihat.
  2. Memberi nasihat kepada rakan yang ada masalah disiplin. Bimbing mereka jika mereka sudah terpesong jauh. Kita tidak tahu rezeki dia macam mana. Dengan menasihatinya mungkin di masa depan dialah orang yang akan menolong anda pula.
  3. Tidak lupa kepada rakan-rakan lama apabila berjumpa kembali. Menyapa dan bertanya khabar. Jangan bandingkan diri anda dengan dirinya.

Dekatkan diri dengan Pencipta

  1. Menjaga hubungan dengan Tuhan. Berusaha seterusnya berdoa. Berusaha tanpa ikthiar adalah sia-sia. Doa tanpa usaha tidak ke mana. Usaha perlu seiring dengan doa.
  2. Taat kepada ibubapa menjadi kunci kejayaan terpenting. Jasa mereka belum tentu dapat kita balas setelah berjaya. Perlu tahu, redha Tuhan terletak kepada redha ibubapa.
  3. Mengeratkan hubungan silatulrahim sesama keluarga dan rakan-rakan. Hidup manusia sentiasa bergantung satu sama lain. Tidak perlu menjarakkan diri anda dengan keluarga.

Korbankan masa

  1. Luangkan masa dengan perkara yang berfaedah. Buang hobi yang merugikan anda dan masa anda. Cari sesuatu yang mendatangkan ilmu adalah lebih baik.
  2. Kurangkan masa senang anda jika peperiksaan sudah dekat. Tekan butang panik supaya anda waspada. Dengan ini, anda akan lebih menghargai masa.
  3. Jika lemah dalam sesuatu matapelajaran, hadiri ke kelas tambahan. Anda akan lebih mudah faham. Jika tidak mampu, banyakan membuat latihan dan bertanya kepda guru dan rakan-rakan yang pandai di sekolah.

Membuat simpanan

  1. Zaman sekarang merupakan zaman mainan duit. Tanpa duit sangatlah sukar untuk anda melanjutkan pelajaran ke menara gading. Jika masih belum ada simpanan lebih baik menabung dari sekarang. Dengan kewangan yang kukuh anda tidak perlu bersusah payah berhutang.
  2. Uruskan kewangan dengan sebaik mungkin. Perlu membezakan keperluan dan kehendak. Dengan ini, anda dapat belajar berjimat-cermat. Jangan terlalu boros apabila berbelanja. Cukup sekadar membeli keperluan.
  3. Berjinak-jinak dalam bisnes untuk mencari pengalaman berniaga. Bukan senang untuk berjaya dalam bisnes tetapi pengalaman itulah yang membawa anda ke puncak. Jika tidak mampu, carilah kerja sambilan untuk menimba pengalaman. Kalau dari keluarga peniaga, rajin-rajin tolong ibu bapa supaya bisnes itu dapat dikembangkan.

Begitulah penting mengambil langkah awal untuk menentukan masa depan anda. Tidak semua orang akan gagal atau berjaya sampai bila-bila. Percayalah selagi anda berusaha selagi itu kejayaan itu ada. Kesabaran dan ketekunan sangat penting bagi seseorang pelajar. Nama juga pelajar mesti ada salah dan silap. Kesilapan bukan untuk diulang tetapi untuk diatasi. Kenali diri anda. Kenali kelemahan anda. Ubah diri anda perlahan-lahan ke arah orang berjaya.

Tiada ulasan: